Tuesday, January 8, 2013

Aku seorang isteri...

Alhamdulillah, sebenarnya banyak rasa yang bertakung dihati, cuma keinginan untuk mencoret tidak membara menjadikan takungan hati itu akhirnya pudar oleh masa. Serasa seperti mahu mencoret tentang hidup yang kini semakin mudah.

Hidup sentiasa berteman, susah yang sentiasa ada penyelesaian. Kerisauan ada, tapi masih boleh dilipat kemas-kemas agar tidak serabut serabai dalam hati. Itu kemudahan yang boleh dilihat mata zahir.

Kemudahan yang tidak terpandang dengan mata fizikal adalah kasih sayang dari Tuhan. Betapa Dia memudahkan seorang wanita menambah amal ibadahnya, mencari jalan takwa, menikmati kalimah redha. Mudah asalkan didasari dengan rasa sabar dan ikhlas keranaNya.

Di malam hari, melawan kantuk mata menekan suis seterika, kalau dilakukan seikhlasnya, menggosok baju suami tercinta membuahkan pahala yang pertama. Senyum, salam, peluk dan cium jika ikhlas mengalirkan cinta dalam lambaian selamat pergi bekerja adalah habuan pahala yang seterusnya.

Hujung minggu sihat dengan riadah rumah tangga, mencuci baju, mengemas rumah seadanya. Rutin mudah yang tidak perlukan cabaran minda. Buat dengan tekun dan sabar, ganjaranya pahala dari yang Esa.

Dilidah ia mudah untuk dimadah, beban dan kepenatan menjadikan ia sukar untuk dilaksanakan, kesabaran yang kurang akan menukarkan segala amal ibadah itu menjadi dosa keingkaran.

Buat wanita yang telah lama bergelar isteri, beruntunglah dan bersyukurlah. Buat wanita yang belum bergelar isteri, percepatkanlah menuruti sunnah. Dan buat para wanita yang baru bergelar isteri seperti aku, memang memakan masa untuk mengadaptasi segala. Jika dulu, rutin-rutin itu hanya bila perlu, sekarang ia sentiasa perlu. Apa yang anda perlu lakukan, didik hati agar menjadi lebih ikhlas dan sabar, selepas itu hidup akan jadi lebih mudah, tenang dan bahagia. Memang memakan masa, tapi percayalah dihujungnya nanti ada cinta, ada redha, ada bahagia. 

Wallahualam.

*credit to the original writer, senior debat saya, puan zakia.. *